Home » Sizzling HOT topics in Coffee Dens!!! » MENGAPA MELAYU GAGAL CAPAI SASARAN 30% EKUITI DEB WALAU SETELAH 55 TAHUN MERDEKA?

MENGAPA MELAYU GAGAL CAPAI SASARAN 30% EKUITI DEB WALAU SETELAH 55 TAHUN MERDEKA?

“Melayu tidak pandai berniaga. Melayu malas bekerja. Melayu memiliki minda subsidi. Melayu memiliki minda kelas ketiga. Melayu tidak boleh itu dan ini…,” kata mereka. Siapakah MEREKA ini?

MEREKA adalah pemimpin2 berbangsa Melayu sendiri.

Hakikatnya sdra/sdri sekelian, hari ini Melayu mundur, miskin serta gagal mencapai walau sekadar 30% ekuiti pengkorporatan negara adalah kerana…kegagalan kerajaan BN mencipta strategi serta memilih metodologi perlaksanaan yang lebih berkesan.

Melayu malas bekerja? Siapa kata? Siapakah yang bangkit 3-4 pagi untuk menangkap ikan serta menjual di pasar2 borong sehingga ke larut pagi? Siapa yang sanggup berniaga 12-18 jam sehari di gerai2/warung2 kecil-kecilan di bawah matahari panas? Mana2 pemimpin yang berani mendakwa bahawa Melayu itu pemalas, sebenarnya sedang dikerumuni oleh kroni2 dan ahli sanak-saudara atau ahli2 parti komponen yang pemalas.

Melayu tidak tahu berniaga? Sudah tentu sebab sepanjang 300 tahun bangsa Melayu dijajah, penjajah tidak memberi kesempatan untuk Melayu berniaga. Bagaimanakah boleh Melayu bersaing di atas landasan yang sama dengan bangsa2 lain yang telah menikmati pelbagai kelebihan perniagaan sepanjang 300 tahun duduk di bawah telunjuk penjajah?

Melayu memiliki minda kelas ketiga kerana terlalu bergantung kepada subsidi? Siapakah yang mencipta BRIM, KRIM, subsidi beli talipon bimbit, subsidi beri komputer lembab 1Malaysia percuma, dsb? Siapa? Pemimpin atau rakyat?

Negara Eropah, termasuk Britain, France, Norway, Germany, dan banyak lagi, sudah lama mengamalkan dasar pentadbiran Social Democracy atau Demokrasi Kemasyarakatan. Dalam sistem Demokrasi Kemasyarakatan ini, kerajaan bertanggungjawab bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat jelata, malah memberikan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan (jalanraya) serta pendidikan percuma.

Sebahagian besar bajet negara negara2 maju ini telah diagihkan untuk menyediakan perkhidmatan2 kemasyarakatan asas secara percuma. Golongan yang kurang bernasib baik seperti penganggur, OKU, warga emas, orang yang menghidap penyakit2 kronik diberikan kemudahan rawatan serta bantuan hidup bulanan secara percuma. Tanpa perlu turun-naik dan meminta2 seperti peminta sedekah daripada jabatan2 kerajaan, mahupun dibebani lagi dengan keperluan surat2 sokongan daripada ketua2 kampung, ahli2 politik parti atau Ketua Menteri.

Tidak pula mereka perlu berjam2 beratur, (dipaksa) mendengar syarahan pemimpin mengkeji pembangkang, mengisi pelbagai jenis borang yang mengutip pelbagai maklumat peribadi, sambil mencium tangan pemimpin2 parti demi mendapat RM200-300 bantuan.

Setelah menikmati pelbagai kemudahan ini, tiada pula suara2 sumbang daripada mana2 pemimpin bangsa mereka yang mencemuh rakyat mereka dengan berkata, “rakyat memiliki minda dunia ketiga kerana terlalu amat bergantung kepada subsidi/bantuan kerajaan.” Atau, “jika tidak suka cara pemerintahan kami, sila keluar daripada negara ini.”

Kerana hanya pemimpin2 yang berjiwa besar sahaja yang mampu mengakui bahawa, “wang rakyat adalah hak milik rakyat” serta “tanggungjawab utama setiap ahli politik adalah untuk memberikan kesejahteraan kepada setiap warga negara.”

Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diberikan tugas untuk meramaikan lagi warga usahawan dalam kalangan bangsa Melayu pula tidak berjaya menjalankan tugas yang baik. MARA yang diamanahkan memberi tunjuk ajar kepada usahawan Melayu sebenarnya ditadbir oleh pegawai2 yang sendiri belum pernah berniaga. Maka, jadilah ‘ibarat tikus membaiki labu’, atau ‘si buta mengajar sicelik.’ Kerana yang mengajar tidak lebih berpengalaman daripada yang diajar.

Barisan perunding serta tenaga pengajar MARA pula kebanyakannya terdiri daripada pakar2 motivasi (yang juga tidak pernah berniaga) atau bekas-bekas tenaga kerja MARA sendiri yang sudah/baru pencen.

Manakala kursus2 yang diberikan pula lebih menjurus kepada ‘Kursus Perniagaan Asas’ atau ‘Kursus Membudayakan Keusahawanan’, walhal lebih ramai orang Melayu yang sudah bertahun berniaga dan lebih memerlukan kursus2 khusus berbentuk operasi, strategi serta perkembangan perniagaan.

Tiada langsung bantuan yang diberikan untuk membaikpulih atau meningkatkan perniagaan usahawan yang sediada. Maka, untuk setiap 10 usahawan yang dibina, 15 lagi usahawan sediada yang kecundang. Kesudahannya, bilangan usahawan Melayu tidak dapat meningkat, walau sesudah berpuluh tahun berniaga.

Lokasi2 premis perniagaan MARA pula tidak diurus dengan baik. Ada Pengarah2 MARA Negeri yang lebih mementingkan keindahan pejabat daripada menyediakan program2 promosi yang lazim dibuat oleh premis2 perniagaan swasta.

Mana2 peniaga Melayu yang menyoal tentang promosi/pemasaran bangunan atau bertanyakan isu2 sensitif (yang memerlukan pegawai2 MARA bekerja lebih sedikit) akan diberikan kata dua: “Jika tidak suka, sila keluar daripada premis kami.”

“Keluar daripada premis KAMI.” “Keluar daripada negara ini.” Inilah jawapan ketara yang diberikan bukan sahaja oleh pegawai2 jabatan kerajaan (seperti MARA), tetapi oleh pemimpin2 parti sekalipun. Seolah2 setelah mendapat jawatan serta setelah dipilih menjadi pemimpin kepada masyarakat, negara serta aset negara ini menjadi hak milik mereka.

Akan tetapi, ada satu perkara di mana MARA menyediakan perkhidmatan yang amat cekap sekali, iaitu apabila mengumpulkan para usahawan untuk menghadiri (meramaikan) majlis2/acara2 yang dianjurkan untuk mana2 pemimpin parti, terutama yang dihadiri oleh PM dan TPM. Rombongan bas dan makanan disediakan secara percuma, walau dari celuk mana sekalipun.

Sentiasa, setiap kali… dan mungkinkah untuk selamanya? Ironinya adalah, kini MEREKA datang merayu undi daripada rakyat “minda-ketiga” lagi. Satu bulan memujuk rayu dengan janji2 manis, tetapi 4-5 tahun menghina dan mengeji. Kemudian, proses yang sama berulang kembali.

Maka sebenarnya tuan/puan sekelian, kegagalan orang Melayu mencapai walau 30% ekuiti kekayaan negara bukanlah disebabkan oleh orang Melayu, tetapi sebenarnya disebabkan oleh kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang sudah ketandusan idea, tidak kreatif dalam membentuk strategi atau…semakin lama semakin, tidak ambil kisah.

-DM
(Rumusan di ambil hasil drp perbincangan Kedai Kopi oleh usahawan2 Melayu yang bernaung di bawah MARA.)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s