Pentadbiran Sampah

20130817-145749.jpg

Ini gambar selongok sampah. Tapi ia bukan sebarang sampah. Ia sebuah tugu sampah yang boleh mengakibatkan huru-hara, kematian serta kesengsaraan banyak keluarga di Malaysia.

Kisah tugu sampah ini bermula daripada seorang arkitek Melayu yang berpengaruh (dalam politik, malah ketua cawangan politik tempatan) yang bersubahat dengan pemaju perumahan bukan-Islam untuk membina sebuah Taman Perumahan di Tanah Reserve Milik Melayu. Arkitek muda ini yang kurang cerdik ini memilih untuk melanskap projek perumahan Ali-Baba ini dengan pokok Cempaka yang banyak menghasilkan daun-daun besar.

Oleh kerana kabel arkitek muda ini kuat, maka Majlis Perbandaran Tempatan meluluskan permohonan projek Ali-Baba Pokok Cempaka ini walaupun pelan tidak menepati piawai yang disediakan. Apa-apa pun boleh, janji ada wang bawah meja. Semua gembira.

Projek perumahan berjaya. Ramai keluarga Melayu menetap di kawasan perumahan, manakala orang bukan-Melayu pula membeli rumah kedai di kawasan yang sama. Tanah yang dahulunya milik reserve Melayu kini sudah 60% dikuasai oleh orang bukan Melayu. Tapi semua tetap gembira. Tauke gembira kerna dapat banyak untung. Majlis Tempatan gembira kerna pegawai dan Majlis dapat wang besar. Manakala, arkitek muda juga dapat untung besar, yang digunakan bagi meraih jawatan yang lebih tinggi. Akhirnya berjaya menjadi pemimpin masyarakat,

Yang tak gembira adalah penduduk perumahan Pokok Cempaka itu. Setiap hari kena menyapu sampah yang banyak. Setiap batang Pokok Cempaka sungguh lebat dengan daun-daun besar, yang amat disukai oleh belalang dan pelbagai serangga perosak. Saban hari, daun-daun kering yang jatuh menutupi longkang. Hasilnya, Taman Pokok Cempaka menjadi lubuk sarang nyamuk aedes. Ada ramai penduduk yang mati, manakala ramai juga yang jatuh sakit.

Pemimpin arkitek muda mendakwa, penduduk pokok Cempaka tidak tahu jaga kebersihan. Maka, pegawai Kesihatan dihantar untuk mendenda mana-mana penduduk yang tidak menjaga kebersihan laman rumah. Denda RM500 dikenakan bagi menyedarkan rakyat, kata pemimpin muda itu.

Penduduk tertekan, maka segera buat gotong-royong kemaskan laman rumah. Daun-daun kering segera dikumpulkan di belakang rumah dan dibakar. Tiba-tiba, datang pula pegawai Jabatan Alam Sekitar.

“Anda didenda RM500 kerana membakar di kawasan terbuka sehingga boleh menyebabkan percemaran udara,” kata pegawai Jabatan Alam Sekitar.

Jiran-jiran yang dengar rakan mereka telah didenda, segera bertukar strategi. Daun-daun yang dikumpul untuk dibakar, kini dimasukkan ke dalam bag plastik hitam untuk diangkut oleh Southern Waste, sebuah syarikat yang diswastakan oleh Majlis Perbandaran Tempatan, untuk mengendalikan pungutan sampah.

Namun, setelah hampir sebulan, sampah daun-daun kering tidak diangkat oleh Southern Waste. Satu bulan bertukar kepada dua, lama-kelamaan penduduk sewa lori sendiri untuk buang sampah daun. Lagi Rm300 melayang.

Tiba-tiba, riuh-rendah khabar berita anak jiran si anu jatuh sakit kerana termakan buah mangga yang telah dikencingkan tikus. Buah mangga itu dikutip tidak jauh daripada kawasan longgokan sampah daun yang tidak boleh dibakar dan tidak pula dikutip oleh majlis perbandaran. Mati lagi seorang anak penduduk kampung.

Pada suatu hari, pemimpin arkitek muda datang ke taman Pokok Cempaka untuk mensedekahkan RM500 wang BR1M kepada penduduk kampung.

“Penduduk kampung ini perlu berterima kasih kepada kerajaan (ehem, saya) kerana bermurah hati (bijaksana mentadbir negeri sehingga berjaya) beri wang sedekah Rm500 ini.

Tapi, saya amat berdukacita kerana ada sesetengah penduduk yang walaupun telah dibekalkan dengan tong sampah dunia pertama yang beroda serba canggih, serta yang boleh diangkat secara automatik oleh lori, tapi masih miliki minda dunia ketiga.

Walaupun kampung ini telah menerima musibah (ramai yang mati), namun bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya ANDA masih hidup lagi.”

– DM 😦

Leave a comment